Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar berkata, projek berkenaan bertujuan membangunkan sebuah kampung yang lestari dalam pelbagai aspek kehidupan di samping membimbing komuniti tempatan berdikari dengan menjadikan sumber semulajadi dan keunikan kampung sebagai aset pelancongan.

“Projek pembangunan ini sebenarnya telah mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan hanya prihatin terhadap isu-isu komuniti antarabangsa tetapi membantu membangunkan sebuah kampung yang kondusif dan lestari dengan mengekalkan ciri-ciri dan keunikan tempatan.

“Usaha pembangunan kampung budaya lestari ini telah diterjemahkan melalui empat aspek utama ia­itu Pembangunan Persekitaran dan Infrastruktur, Pembangunan Modal Insan dan Pendidikan, Pembangunan Kesihatan dan juga Pemba­ngunan Ekonomi,” katanya dalam majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan UTM di sini hari ini.
Rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan Wanita Darul Sakinah Pasir Gudang, Wakaf An Nur Johor Corporation, Yayasan Salam Malaysia, Media Prima-TV3, Al Ikhsan Sdn. Bhd., Action Caring Team dan My Care Malaysia.

Tambah Dr. Wahid, projek yang telah bermula sejak 2013 ini meliputi penyelidikan serta peran­cangan pelbagai bidang dan model pembangunan dan pendekatan yang diaplikasikan oleh penyelidik UTM itu akan dijadikan rujukan dan panduan kepada beberapa pembangunan komuniti di Kemboja.

Jelas beliau, seramai 20 pensyarah serta 80 mahasiswa UTM daripada pelbagai bidang kepakaran terlibat secara berperingkat-­peringkat dan berkala dalam menjayakan projek tersebut.
“Antara projek yang telah dijalankan oleh pihak kami ialah pembangunan pusat informasi dan galeri senibina Kampung Khleang Sbek, pusat usahawan dan perniagaan Darul Sakinah, pusat jahitan komuniti serta aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris kepada kanak-kanak di kampung tersebut.

“Bukan itu sahaja, kami juga telah menambah baik kemudahan sekolah, kajian kualiti air bersih, pemeriksaan dan rawatan kesihatan komuniti, pembinaan telaga air serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain,” jelasnya.